Perak Jadi Lokasi Pembuka Tirai Program MADANI Rakyat 2026

IPOH: Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 kembali menemui masyarakat dengan Perak dipilih sebagai negeri pembuka tirai.

Acara itu akan berlangsung dari 3 hingga 5 April di Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru, Ipoh.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu diteruskan selepas kejayaan edisi tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan di lapan negeri.

Bagi edisi kali ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertindak sebagai kementerian peneraju dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah.

Dengan tema ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’, penganjuran ini mencerminkan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar mampan dan penyediaan perumahan berkualiti.

“Program ini mengintegrasikan pembangunan fizikal dengan kesejahteraan rakyat serta pembentukan komuniti harmoni sebagai asas kestabilan sosial,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai pengisian disediakan untuk pengunjung termasuk perkhidmatan kerajaan, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, perkhidmatan kesihatan serta tawaran peluang pekerjaan.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menikmati inisiatif seperti pertukaran minyak enjin motosikal dan gunting rambut percuma, di samping pameran aset keselamatan, jualan usahawan tempatan serta aktiviti kekeluargaan.

Majlis perasmian pada 4 April akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus mendekati rakyat.

“PMR 2026 menjadi platform interaksi terbuka antara kerajaan dan rakyat, selain memperluas capaian perkhidmatan kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.

Program itu dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala sehingga pukul 6 petang pada Ahad.

Kehadiran masyarakat amat dialu-alukan bagi memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan sepanjang penganjuran.

Anda Mungkin Berminat