Cuaca panas dan kering melanda sebahagian besar negara dijangka akan berlarutan sehingga pertengahan April kerana fasa peralihan monsun akan bermula.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fasa peralihan monsun dijangka akan bermula pada 29 Mac depan sehingga Mei 2024.
“Ketika tempoh tersebut, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh membawa kepada kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.
“Kejadian ini diramal berlaku pada waktu petang atau lewat malam, khususnya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Helmi menambah, permulaan fasa peralihan monsun ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 11 November tahun lalu.
Dalam pada itu, Helmi turut berkata perubahan cuaca akibat peralihan monsun ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Maka, pihak METMalaysia menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan mereka.
Baca juga: