Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Golongan pekerja memegang peranan penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kepentingan pekerja di negara ini adalah memastikan kestabilan serta kemakmuran negara terus terpelihara walaupun berdepan cabaran ketika ini.
Seri Paduka Baginda bertitah di laman rasmi Facebook pada Jumaat, kebajikan pekerja perlu sentiasa diberi perhatian termasuk aspek keselamatan, keseimbangan kehidupan dan peluang pembangunan kerjaya supaya mereka terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas segala pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan para pekerja dalam pelbagai sektor, sama ada di peringkat awam mahupun swasta,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar seluruh pekerja di negara ini sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam menjalankan tugas masing-masing.








