PARIS: Perancis menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan utama Malaysia dalam menjayakan misi peralihan tenaga serta memperkukuh kerjasama dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sekali gus membuka ruang kerjasama strategik yang lebih meluas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa perkara tersebut merupakan antara intipati utama perbincangan beliau bersama Perdana Menteri Perancis, François Bayrou selepas sambutan rasmi di ibu negara Perancis itu.
“Kami menyentuh pelbagai bidang kerjasama strategik termasuk pelaburan bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, selain tenaga bersih, pertahanan, pendidikan serta TVET,” katanya.
Malaysia menurutnya amat menghargai penglibatan aktif syarikat-syarikat gergasi Perancis seperti ENGIE, Total dan Thales dalam menyokong agenda transformasi ekonomi dan kelestarian negara.
Selain itu, kerjasama sektor penerbangan turut disentuh, dengan Anwar menekankan komitmen pihak Airbus dalam penghantaran pesawat A330 Neo kepada Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai langkah memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan industri tersebut.
“AirAsia juga menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis apabila komited memperoleh sejumlah pesawat Airbus.
“Sekali gus memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan dua hala Malaysia-Perancis akan terus berkembang secara mampan dan inklusif memandangkan Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU).
Sebagai langkah memperkukuh hubungan erat tersebut, Anwar memanjangkan undangan rasmi kepada Bayrou untuk melakukan lawatan ke Malaysia.