Oleh: Dr. Rizal Zamani Idris
ULASAN | Dalam era globalisasi yang sering digambarkan sebagai zaman kemajuan nilai kemanusiaan dan ketertiban undang-undang antarabangsa, satu persoalan kekal menghantui masyarakat dunia iaitu
mengapa peperangan masih berlaku.
Lebih membimbangkan, mengapa penderitaan orang awam masih menjadi ciri utama konflik moden, walaupun pelbagai peraturan telah diwujudkan untuk melindungi mereka. Adakah undang-undang antarabangsa telah gagal atau sebenarnya kita berdepan dengan kegagalan politik?
Sejak sekian lama, Konvensyen Geneva menjadi asas kepada Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (juga dikenali sebagai undang-undang perang atau IHL). Ia dirangka dengan tujuan utama untuk menghadkan kesan peperangan dengan melindungi mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik bersenjata.
Ini termasuklah tentera yang cedera, orang awam, petugas perubatan serta tawanan perang. Prinsip-prinsip seperti pembezaan (distinction) antara sasaran tentera dan orang awam, serta keperluan serangan secara berkadar (proportionality), menjadi tunjang kepada kerangka ini.
Secara teori, jika prinsip ini dipatuhi, penderitaan dalam perang boleh diminimumkan. Namun, teori dan realiti sering tidak seiring. Dalam Perang Rusia-Ukraine umpamanya, dunia menyaksikan berulang kali laporan serangan ke atas kawasan kediaman dan infrastruktur awam.
Di Timur Tengah, konflik Israel-Gaza terus memperlihatkan angka korban awam yang tinggi, mencetuskan perdebatan global tentang had penggunaan kekuatan ketenteraan. Dalam perang saudara
Syria pula, konflik berlarutan lebih sedekad menjadi bukti bagaimana norma undang-undang boleh terhakis apabila terlalu banyak aktor bersenjata terlibat.
Terkini, konflik yang melibatkan Iran memperlihatkan skala kemusnahan yang turut membimbangkan. Dalam perkembangan perang yang melibatkan Iran sejak 2025 hingga 2026, angka korban menunjukkan peningkatan mendadak. Dalam konflik singkat antara Iran dan Israel pada 2025 sahaja, dianggarkan sekitar 1,190 orang terbunuh di Iran, termasuk sekurang-kurangnya 436 orang awam.
Namun, situasi menjadi lebih parah dalam konflik 2026. Laporan menunjukkan lebih 3,600 orang
terkorban di Iran, dengan sekurang-kurangnya 1,700 daripadanya adalah orang awam termasuk
ratusan kanak-kanak. Malah, terdapat anggaran lain yang menyatakan lebih 1,300 orang awam terbunuh dan puluhan ribu cedera akibat serangan berterusan. Angka-angka ini bukan sekadar statistik. Ia mencerminkan realiti bahawa orang awam terus menjadi mangsa utama dalam konflik moden.
Persoalannya, jika undang-undang sudah wujud, mengapakah pelanggaran terus berlaku?
Jawapannya tidak terletak pada kelemahan prinsip, tetapi lebih kepada ketiadaan ‘iltizam politik’ (political will) untuk menegakkannya. Dalam sistem antarabangsa, tiada kuasa tunggal yang benar-benar mampu memaksa negara berdaulat untuk mematuhi undang-undang.
Pematuhan sering bergantung kepada persetujuan serta kesediaan sendiri. Di sinilah masalah bermula.
Institusi seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sering dilihat sebagai harapan untuk
menegakkan keadilan. Namun realitinya, keberkesanannya adalah terbatas. Tidak semua negara
mengiktiraf bidang kuasa ICC dan dalam banyak kes, proses pendakwaan berdepan halangan politik
yang ketara. Akibatnya, mesej yang sampai kepada dunia adalah jelas iaitu akauntabiliti wujud, tetapi
tidak semestinya konsisten.
Lebih membimbangkan ialah kecenderungan penguatkuasaan secara ‘pilih kasih’ (selective enforcement). Dalam beberapa konflik, pelanggaran undang-undang dikecam dengan kuat dan disusuli tindakan tertentu.
Dalam konflik lain, reaksi antarabangsa jauh lebih perlahan atau berhati-hati. Tindakan yang tidak konsisten ini bukan sahaja melemahkan kepercayaan terhadap sistem antarabangsa, malah secara tidak langsung menggalakkan pelanggaran berulang.
Namun, untuk mengatakan undang-undang antarabangsa tidak relevan adalah tidak tepat. Hakikatnya,
IHL masih memainkan peranan penting sebagai rujukan moral dan asas untuk pertanggungjawaban. Ia
membolehkan pelanggaran peraturan didokumentasi, dikritik dan dalam sesetengah kes, diadili. Tanpa
kerangka ini, dunia mungkin berdepan dengan peperangan yang jauh lebih tidak terkawal.
Perkara yang jelas, masalah utama bukan keterbatasan undang-undang semata, tetapi kesediaan serta
kepatuhan negara dalam pelaksanaannya. Selagi kepentingan politik mengatasi prinsip kemanusiaan,
selagi itu undang-undang akan kekal terhad kepada peranan normatif semata-mata.
Akhirnya, persoalan “mengapa perang masih berlaku” tidak boleh dijawab dengan merujuk kepada undang-undang sahaja. Ia adalah cerminan kepada ‘priority’ atau keutamaan politik global.
Jika masyarakat antarabangsa benar-benar mahu melihat perubahan, maka komitmen terhadap undang-
undang mesti disertai dengan komitmen politik untuk menguatkuasakannya, tanpa pilih kasih.
Jika tidak, kita akan terus hidup dalam dunia yang mempunyai peraturan yang baik di atas kertas,
tetapi gagal melindungi mereka yang paling memerlukannya ketika perang berlaku.
***Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah








