SUBANG JAYA: Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengumumkan bantuan kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dengan menyediakan penggantian peranti elektronik yang rosak dalam insiden berkenaan.
“Kementerian Digital akan menyediakan 100 komputer riba, 100 tablet, 100 telefon pintar dan 500 power bank kepada mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan peranti digital mereka dalam insiden ini. Permohonan boleh dibuat mulai hari ini melalui Pusat Khidmat ADUN Kota Kemuning, YB S. Preakas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kunjungan beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar, serta agensi-agensi di bawah kementerian seperti MDEC dan Digital Nasional Berhad, bertujuan memberi sokongan kepada mangsa.
Terdahulu, dilaporkan sebanyak 85 rumah yang terlibat dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights telah disahkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai malam semalam.
Sementara itu, Amirudin berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penyedia utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengesahkan perkara itu, melibatkan kawasan di Taman Harmoni dan bekalan air serta elektrik telah disambungkan ke rumah terbabit.
“Kementerian Digital akan terus berusaha untuk memastikan mangsa mendapat bantuan yang diperlukan dalam tempoh mencabar ini,” tambahnya.
Baca juga: