Perarakan Tuntut Keamanan Untuk Gaza Di Sydney

SYDNEY: Dalam suasana hujan lebat yang tidak mematahkan semangat, puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Jambatan Sydney Harbour hari ini, menyertai perarakan besar-besaran menuntut keamanan dan penghantaran bantuan segera ke Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan paling parah dalam sejarah moden.

Perarakan yang dinamakan March for Humanity itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, keluarga bersama anak kecil, aktivis hak asasi dan tokoh terkenal termasuk pengasas WikiLeaks, Julian Assange.

Sebilangan peserta membawa periuk dan kuali sebagai simbol kebuluran yang melanda Gaza, manakala bendera Palestin dikibarkan megah di bawah langit kelabu.

Slogan “Kita Semua Palestin” bergema di sepanjang laluan, diiringi deruan hujan dan payung yang terbuka.

Konflik Gaza yang berlarutan sejak hampir dua tahun telah meragut lebih 60,000 nyawa, menurut pihak berkuasa Palestin.

Laporan daripada kerajaan dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut mengesahkan bahawa kekurangan makanan kini mencetuskan kebuluran besar, menjadikan keadaan semakin genting.

Tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak.

Perancis dan Kanada telah mengiktiraf negara Palestin, manakala Britain menyatakan sokongan bersyarat bergantung kepada gencatan senjata dan penyaluran bantuan kemanusiaan.

Israel bagaimanapun menolak tuduhan menyebabkan kebuluran, sebaliknya menuduh Hamas mencuri bantuan dan menyifatkan pengiktirafan terhadap Palestin sebagai “ganjaran kepada keganasan”.

Konflik tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan ke selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan menawan 251 tebusan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dalam kenyataannya menyokong penyelesaian dua negara dan mengecam tindakan Israel menafikan bantuan serta membunuh orang awam sebagai “tidak boleh dipertahankan atau diabaikan”.

Namun, Australia masih belum mengambil langkah rasmi untuk mengiktiraf Palestin.

Antara suara yang bergema dalam perarakan itu ialah Therese Curtis, peserta berusia 80-an yang menyatakan keprihatinannya terhadap nasib rakyat Palestin.

“Saya berarak kerana rakyat Palestin dinafikan hak rawatan perubatan asas kerana hospital mereka dibom, dan itu tidak boleh diterima,” katanya memetik laporan media antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat