KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan berdepan perbicaraan penuh berhubung empat pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM432.5 juta.
Ini susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik bagi menggugurkan semua tujuh pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini bahawa AGC menolak permohonan berkenaan pada 22 Ogos lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan bersedia memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan akan datang.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan sudah menerima senarai saksi namun memerlukan pernyataan saksi bagi melengkapkan persediaan kes.
Hakim K Muniandy menetapkan 10 November ini bagi sebutan semula kes sebelum menetapkan tarikh perbicaraan, dan kehadiran Muhyiddin pada tarikh itu turut dikecualikan.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan terhadap Muhyiddin atas alasan ia kabur dan tidak berasas, namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada Februari lalu yang memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen.
Empat pertuduhan pertama melibatkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta daripada individu serta tiga syarikat.
Tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan RM200 juta hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun parti.
Pada 16 Jun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi berikutan ia membabitkan isu undang-undang kompleks serta berkepentingan awam.
Baca juga: