BANGKOK: Pemimpin Myanmar menyatakan komitmen untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada bulan lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen ini disampaikan melalui dua pertemuan yang diadakan di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau mengadakan pertemuan bersemuka dengan Jeneral Senior Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negeri Myanmar (SAC) semalam, dan satu pertemuan maya dengan pemimpin Kerajaan Kesatuan Nasional Myanmar (NUG), Mahn Win Khaing Than, pagi ini.
“Pemimpin Myanmar menunjukkan kesediaan untuk meneruskan gencatan senjata, yang merupakan prasyarat penting untuk usaha penghantaran bantuan kemanusiaan. Walaupun insiden letupan baru-baru ini dibangkitkan, kami berharap ia dapat ditangani dengan baik,” katanya pada sidang media selepas menamatkan lawatan kerjanya ke Thailand.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, beliau telah menekankan kepada kedua-dua pemimpin bahawa bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan masuk ke seluruh wilayah Myanmar tanpa mengira lokasi atau afiliasi politik, selaras dengan pendirian ASEAN.
“Kedua-dua pemimpin memberi jaminan bahawa mereka akan meneruskan gencatan senjata. ASEAN mahu perdamaian dicapai dengan segera dan menyokong usaha membina semula Myanmar,” tambahnya.
Anwar turut mengesahkan bahawa ASEAN sudah mula menyumbang kepada pemulihan Myanmar, antaranya melalui penghantaran Pasukan Bantuan Kecemasan dan Penyelamatan Malaysia (SMART) serta penubuhan hospital lapangan di negara itu.
“ASEAN sedia memfasilitasi usaha-usaha ini dan akan terus berhubung dengan pemimpin Myanmar. Kami juga akan memastikan komitmen gencatan senjata dipatuhi dan mengelakkan provokasi yang boleh menggagalkan misi kemanusiaan ini,” katanya.
Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu telah mengorbankan 3,706 nyawa, mencederakan 5,017 orang, dan 130 orang masih hilang.
Baca juga: