Perbincangan Ilmiah Bantu Nilai Dasar Kerajaan, Masa Depan Dunia – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan para pembentang persidangan ‘Islam and the Emerging World Order’ yang dianjurkan oleh International Institute of Futures Studies di International Islamic University Malaysia (IIUM), bertempat di Seri Perdana, Putrajaya, petang Jumaat.

Dalam ucapan beliau, Anwar menekankan kepentingan wacana ilmiah yang merangkumi pelbagai isu semasa termasuk cabaran perkhidmatan awam, xenophobia serta masa depan dunia dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Saya zahirkan penghargaan atas nasihat dan saranan yang disampaikan dalam pertemuan ini, malah kami berbincang pelbagai spektrum isu mengenai perkembangan isu termasuk cabaran perkhidmatan awam, xenaphobia dan masa depan dunia disebalik cabaran semasa,” katanya.

Menarik perhatian, dua wakil dari Sarajevo turut membincangkan karya ulama besar Tajuddin al-Subki, Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam (The Restorer of Favours and the Restrainer of Chastisements), yang menurut mereka boleh dijadikan pedoman dalam menangani cabaran kontemporari.

Anwar berkata, perbincangan seperti ini bukan sahaja penting untuk menilai dasar semasa kerajaan tetapi juga membuka ruang kepada tindakan dan rancangan yang memberi manfaat kepada umat Islam serta masyarakat dunia secara keseluruhan.

“Semoga perbincangan seperti ini dapat dikembangkan dalam membuat penilaian kritis kepada dasar semasa kerajaan dan bagaimana kita boleh menawarkan tindakan dan rancangan yang boleh memberi manfaat bukan sehaja kepada umat Islam tetapi seluruh dunia,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat