PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Jumaat selepas cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa serta agama.
Kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang itu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini,” kata kenyataan bersama itu.
Tambah kedua-dua menteri itu, perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
Justeru, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang dipengerusikan bersama.
Mesyuarat JK Harmoni kali pertama dijadual diadakan pada bulan ini dan akan mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama iaitu Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i.
Sebelum ini, Mohd Na’im dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Cadangan itu sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PAS-Permatang Pauh) yang meminta Anwar menyatakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan.
Baca juga: