PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna media sosial di Malaysia, kerajaan sedang giat berunding dengan tiga gergasi teknologi – X (sebelumnya dikenali sebagai Twitter), Google, dan Meta mengenai keperluan pelesenan platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, setiap syarikat mempunyai alasan tersendiri berhubung keperluan pelesenan tersebut.
Beliau berkata, perbincangan itu masih berjalan dengan memberikan ruang kepada syarikat untuk membuat keputusan muktamad.
“Mereka mempunyai hujah berbeza dan kita beri sedikit masa untuk mereka mempertimbangkannya.
“Dalam kes X, mereka berpendapat jumlah pengguna mereka di Malaysia mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi syarat pelesenan.
“Kita akan berikan mereka ruang untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang media yang berlangsung, hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan komited untuk memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar dan akan memberikan maklumat tambahan yang diperlukan oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Langkah itu bertujuan memastikan pengendali platform bertanggungjawab dalam menangani kandungan berbahaya termasuk kandungan lucah, aktiviti perjudian, penipuan dalam talian serta penyebaran maklumat palsu.
Setakat ini, tiga syarikat telah memperoleh lesen daripada kerajaan, iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat), TikTok Pte Ltd (TikTok) dan Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari lalu.
Dengan pelesenan ini, Malaysia menyertai barisan negara yang mengambil langkah tegas dalam mengawal selia platform digital, menekankan tanggungjawab syarikat teknologi untuk mengawal kandungan berisiko di platform mereka.