Perbualan Anwar-Sneako sentuh isu Iran dan politik global

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perbualan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama YouTuber Amerika Syarikat, Sneako mencuri perhatian apabila ia menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk Iran, kepimpinan negara tersebut serta landskap politik global.

Dalam sesi perbualan itu, Sneako atau Nicolas Kenn turut membangkitkan soalan berkaitan pengalaman Anwar berhubung pemimpin Iran termasuk Ayatollah Ali Khamenei, serta pandangan beliau terhadap negara berkenaan yang sering menjadi perdebatan di peringkat dunia.

Anwar berkata beliau pernah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Iran termasuk Ayatollah Ali Khamenei ketika menyertai delegasi rasmi ke negara itu suatu ketika dahulu.

Beliau menegaskan pengalaman tersebut memberi perspektif lebih luas terhadap perkembangan negara berkenaan.

Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa perkara, penilaian terhadap mana-mana negara tidak wajar dibuat secara berat sebelah atau hanya berdasarkan persepsi semata-mata.

“Tidak semua kita bersetuju dengan setiap perkara, tetapi kita perlu bersikap adil dalam memberikan penilaian terhadap pencapaian mereka, bukan hanya berdasarkan persepsi atau pandangan politik semata-mata,” katanya.

Anwar turut menegaskan Iran wajar diberikan pengiktirafan dari sudut kemajuan pendidikan, penyelidikan serta pembangunan teknologi yang dicapai negara itu.

“Saya lebih memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, penyelidikan dan sains kerana itu antara bidang yang memberi kesan besar kepada pembangunan sesebuah negara,” katanya.

Tambah beliau, antara perkembangan yang diperhatikan termasuk penyertaan tinggi golongan wanita dalam bidang sains serta peningkatan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar di Iran.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan pandangan dalam beberapa perkara, tetapi pada masa yang sama ada pencapaian tertentu yang tidak boleh dinafikan dan perlu diakui secara objektif,” katanya.

Perbualan tersebut turut menyentuh isu geopolitik lebih luas, termasuk bagaimana sesebuah negara sering dilihat berbeza bergantung kepada naratif antarabangsa serta sudut pandang politik global.

Sesi berkenaan mencuri perhatian kerana memperlihatkan pendekatan santai tetapi terbuka antara Perdana Menteri dan penggiat media sosial antarabangsa dalam membincangkan isu-isu global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat