BAHRAIN: Perdana Menteri diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua negara bagi menyampaikan ucapan dan berkongsi pandangan bersama para ulama serta sarjana Islam di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC).
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peluang itu harus dimanfaatkan dalam menggesa agar kumpulan ini bersatu dalam menangani isu sektarianisme dengan mengambil tindakan konkrit mendukung Palestin dan Syria.
“Saya tegaskan bahawa eksploitasi sektarianisme digunakan sebagai senjata membakar ketegangan hanya akan memecahbelah masyarakat serta melemahkan kerjasama politik sekali gus menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan.
“Alhamdulillah, ucapan saya ini senada dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar,” kongsinya dalam ucapan tersebut pada Rabu.
Tegas Anwar, dunia Islam mesti mempamerkan solidariti yang lebih besar terhadap warga Palestin, tidak sekadar melalui retorik, tetapi dengan tindakan yang kolektif, usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan, serta dukungan ekonomi.
“Pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman.
“Dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan dalam aspek pendidikan, hak dan akses kepada kesihatan dan infrastruktur serta mesti melonjak suara mereka di setiap platform antarabangsa.
“Selain Palestin, saya juga sampaikan bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan selain menggesa dunia Islam untuk sama-sama menyusun masa depan mereka,” katanya lagi.
Beliau percaya bahawa melalui tindakan, integriti dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, negara-negara Islam sememangnya satu ummah dengan tujuan sama.
Baca juga: