Pergolakan Dalaman PN: Muhyiddin Umum Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas lima tahun menerajui gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini, sekali gus menamatkan kepimpinannya sejak penubuhan PN.

Dalam kenyataan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau memimpin gabungan tersebut.

“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya sejak penubuhan PN lima tahun lalu,” katanya.

PN merupakan gabungan parti politik yang dianggotai antaranya BERSATU, PAS dan GERAKAN.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan PN dalam meneruskan perjuangan gabungan tersebut.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam PAS termasuk Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, dilaporkan menyuarakan pandangan agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada parti itu.

Hubungan antara PAS dan BERSATU turut dilihat semakin tegang susulan perkembangan politik di Perlis, termasuk peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli daripada PAS sebagai Menteri Besar negeri berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat