WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Ukraine kini “semakin hampir” kepada persetujuan bagi menamatkan perang di Ukraine, selepas pertemuannya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, di Florida.
Trump berkata kedua-dua pihak “sangat hampir, mungkin terlalu hampir” mencapai perjanjian, namun mengakui isu masa depan wilayah Donbas di timur Ukraine masih belum dimuktamadkan dan kekal sebagai perkara paling sukar dirundingkan.
Dalam sidang media bersama di Mar-a-Lago, kedua-dua pemimpin memaklumkan kemajuan dicapai terutama berkaitan jaminan keselamatan untuk Ukraine, yang disifatkan Zelenskiy sebagai elemen terpenting bagi keamanan berkekalan.
Zelenskiy berkata persetujuan mengenai jaminan keselamatan telah dicapai, manakala Trump pula menjelaskan rundingan berkenaan sudah mencapai sekitar 95 peratus, dengan Eropah dijangka memainkan peranan utama disokong Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, masa depan wilayah Donbas masih belum dipersetujui sepenuhnya, dengan Ukraine mahu garis pertempuran semasa dikekalkan, manakala Rusia menuntut penguasaan penuh kawasan itu.
Sebelum pertemuan dengan Zelenskiy, Trump turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disifatkan sebagai produktif, termasuk perbincangan mengenai cadangan gencatan senjata dan pembinaan semula Ukraine.
Trump berkata walaupun masih terdapat beberapa isu rumit, rundingan kini bergerak ke arah yang betul dan kejayaan perjanjian damai akan dapat dinilai dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Baca juga:








