PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bukanlah perjanjian yang mengikat secara mutlak kerana ia mengandungi klausa keluar yang membolehkan Malaysia menarik diri secara sah pada bila-bila masa.
Menurut Anwar, klausa tersebut telah diteliti secara serius oleh Jemaah Menteri bagi memastikan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang kerjasama antarabangsa.
“Saya tak minta berterima kasih, tapi jangan tuduh seolah-olah kita boneka AS.
“Semua perjanjian perdagangan ada ‘exit clause’. Kita tandatangan kerana perlu memperkukuh pelaburan dan perdagangan, bukan menyerah kepada mana-mana kuasa,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), yang mendakwa ART 2025 mengandungi puluhan klausa yang berpotensi mengikat Malaysia dan menyamakan perjanjian tersebut sebagai bentuk penjajahan moden.
Anwar menolak dakwaan itu dan menasihatkan Ahli Parlimen pembangkang agar tidak membuat andaian melulu, sebaliknya meneliti kandungan sebenar perjanjian secara menyeluruh dan objektif.
“Bila kita baik dengan China, diserang. Nampak baik dengan AS pun diserang. Jadi nak baik dengan siapa? Ini soal negara, bukan politik,” tegas beliau, sambil menekankan bahawa segala usaha kerajaan adalah demi kepentingan dan masa depan Malaysia.
Perjanjian ART 2025, yang bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, terus menjadi topik hangat di Dewan Rakyat, namun kerajaan menegaskan bahawa setiap langkah diambil dengan penuh pertimbangan dan berlandaskan kepentingan nasional.








