Perjuangan PKR Mesti Berprinsip Demi Malaysia Bermaruah – Anwar

JOHOR BAHRU: Mengakhiri lawatan kerja ke Johor, Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor.

Majlis yang menghimpunkan saf kepimpinan dan anggota PKR negeri serta pusat itu menjadi medan refleksi perjuangan reformasi yang telah bertapak selama lebih dua dekad.

“Reformasi bukan sekadar slogan, ia adalah iltizam yang berakar pada nilai keadilan, ketelusan dan kemanusiaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, perjuangan ini mesti diteruskan dengan kebijaksanaan, prinsip yang teguh dan visi jelas untuk membentuk sebuah negara yang inklusif dan manusiawi.

“Saya tekankan bahawa perjuangan ini mesti diteruskan dengan bijaksana, berprinsip dan berpandukan visi untuk membentuk sebuah negara yang manusiawi, inklusif dan maju,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui infrastruktur atau angka ekonomi tetapi melalui keupayaannya menjunjung maruah insan, membela yang tertindas dan meraikan kepelbagaian dalam semangat perpaduan.

“Negara yang kita impikan bukan sekadar hebat pada infrastruktur dan angka ekonomi tetapi yang menjunjung maruah insan, membela yang tertindas dan meraikan kepelbagaian dalam semangat perpaduan.

“Setiap langkah reformasi yang kita pacu hari ini adalah demi generasi akan datang agar mereka mewarisi sebuah Malaysia yang adil, aman dan bermaruah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat