Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat menjangkakan pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping bakal direalisasikan dalam masa terdekat, susulan kesediaan kedua-dua pihak.
Makluman tersebut disampaikan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, selepas bertemu Menteri Luar China, Wang Yi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) yang berlangsung di sini, hari ini.
“Presiden Trump telah menerima jemputan rasmi untuk melawat China.
“Beliau (Trump) memang mahu pertemuan itu berlangsung dan kedua-dua pihak sedang mencari tarikh yang sesuai.
“Saya yakin ia akan berlaku kerana kedua-dua Presiden mahukannya,” katanya.
Mengenai pertemuannya bersama Wang Yi, Rubio menyifatkan perbincangan tersebut sebagai positif dan produktif meskipun tiada perjanjian formal ditandatangani.
“Ia adalah perbincangan membina. Kami mahu memastikan hubungan AS-China stabil kerana ini bukan hanya penting untuk kedua-dua negara, tetapi juga untuk kestabilan global,” jelasnya.
Dalam lawatan ke Malaysia, beberapa hasil rundingan dua hala turut dimeterai termasuk memorandum persefahaman berkenaan kerjasama tenaga nuklear swasta serta perjanjian dalam sektor pertahanan yang akan diumumkan kelak.
Rubio turut berkata, komitmen Washington terhadap isu jenayah siber dan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan di rantau ASEAN.
“Kami mahu bekerjasama dalam membanteras aktiviti penipuan dan jenayah siber yang semakin berleluasa ini.
“Ia bukan isu satu negara tetapi isu serantau yang perlukan penyelesaian bersama,” katanya lagi.
Dalam konteks ekonomi, beliau berkata, tarif yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump bersifat global dan tidak menyasarkan negara tertentu.
“Tarif ini bukan ditujukan kepada ASEAN atau mana-mana negara tertentu.
“Ia adalah usaha menangani defisit perdagangan AS dengan pelbagai negara dan ini memerlukan masa,” katanya.
Rubio turut menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diterima sepanjang kehadirannya di Kuala Lumpur khususnya sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik AS-Vietnam.
“Kami amat menghargai kerjasama dengan ASEAN dan berasa sangat dialu-alukan di sini.
“Ini adalah lawatan yang positif dan kami menanti lebih banyak kolaborasi menjelang bulan Oktober nanti,” ujar beliau.