Perkeso Hulur Pencen, Isteri Mangsa Nahas Pemandu Mabuk Tarik Nafas Lega

SHAH ALAM: Isteri kepada penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk pada 29 Mac lalu melahirkan rasa syukur apabila kebajikan keluarganya kini lebih terjamin menerusi faedah pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata jaminan bayaran bulanan sepanjang hayat itu memberi kelegaan kepadanya untuk meneruskan kehidupan selain memberi tumpuan kepada masa depan serta pendidikan tiga anaknya yang kehilangan ketua keluarga.

Menurutnya, bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung selepas pemergian suami tercinta.

“Alhamdulillah, saya rasa lega dan bersyukur. Saya percaya arwah memang sudah merancang untuk masa depan keluarga… semuanya telah disediakan.

“Saya lihat amaun pencen itu, Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya boleh ‘bernafas’,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan mencarum dengan Perkeso dan menyeru majikan agar tidak mengabaikan tanggungjawab mendaftarkan pekerja demi perlindungan masa depan.

Nadia juga memaklumkan hasrat untuk pulang ke kampung halaman di Batu Kurau, Perak selepas tamat tempoh edah, selain merancang mencari pekerjaan yang membolehkannya memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak.

Sementara itu, Perkeso mengesahkan waris kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, akan menerima pencen bulanan sebanyak RM2,888.17 sepanjang hayat bagi balu, manakala anak-anak akan menikmati faedah tersebut sehingga berusia 21 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kelayakan pencen penuh itu adalah hasil komitmen majikan arwah, syarikat TVH Malaysia, yang mencarum secara konsisten selama 15 tahun.

Selain pencen bulanan, Perkeso turut menyalurkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000 serta jaminan bantuan pinjaman pendidikan kepada anak-anak arwah apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat