Perkukuh Bahasa Melayu Bukan Simbol Kosong, Tetapi Pembinaan Tamadun

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha memperkukuh Bahasa Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai simbol kosong, sebaliknya mesti dilihat sebagai wahana sebenar bagi pembinaan tamadun dan kemajuan negara.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Hadiah Bahasa Public Bank dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025.

Program tersebut merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang pernah dilaksanakan pada tahun 1984, hasil kerjasama antara Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank.

“Sudah tiba masanya kita menolak tanggapan lapuk bahawa bahasa dan ekonomi berada pada jalur yang berbeza.

“Negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis dan Jerman telah lama membuktikan bahawa bahasa ibunda boleh menjadi tonggak kepada pembangunan ekonomi tanpa mengorbankan jati diri nasional,” ujar Perdana Menteri dalam ucapannya.

Anwar turut memuji langkah Public Bank yang tampil sebagai institusi kewangan arus perdana dalam mendukung perjuangan memperkasakan bahasa kebangsaan, sambil menyifatkannya sebagai teladan unggul kepada sektor korporat lain.

“Langkah berani Public Bank membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan jati diri bangsa bukan sahaja boleh, malah harus bergerak seiring,” tambah beliau.

Beliau turut menyatakan penghargaan peribadi terhadap inisiatif tersebut yang mengimbau peranannya sebagai penaung Persatuan Linguistik Malaysia sewaktu penganjuran Hadiah Bahasa yang pertama dahulu.

Anwar turut menyentuh nilai sentimental program tersebut apabila mengimbau penglibatannya sebagai penaung Persatuan Linguistik Malaysia sewaktu edisi pertama Hadiah Bahasa dianjurkan bersama Public Bank pada tahun 1984.

“Selepas 27 tahun, kita hidupkan kembali legasi ini dengan nafas baharu. Ini bukan hanya soal penghargaan terhadap bahasa tetapi satu pernyataan tentang siapa kita dan ke mana kita mahu bawa bangsa ini,” katanya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Public Bank, Tan Sri Datuk Sri Dr Tay Ah Lek yang menyatakan komitmen institusi kewangan itu dalam menyokong inisiatif kebudayaan dan pendidikan negara.

“Public Bank percaya bahawa kekuatan sesebuah negara bukan sahaja terletak pada ekonomi, tetapi juga dalam nilai budayanya.

“Bahasa Melayu adalah tonggak perpaduan dan identiti nasional yang perlu diperkasa bersama,” ujar beliau dalam ucapannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Abang Sallehuddin Abg Shokeran, menyambut baik kerjasama strategik ini yang disifatkan sebagai satu langkah penting dalam mengarusperdanakan Bahasa Melayu di pelbagai sektor termasuk kewangan, teknologi dan pendidikan.

“DBP akan terus menjadi tiang seri perjuangan bahasa kebangsaan. Hadiah Bahasa ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan cendekiawan dan penulis tetapi juga mengangkat bahasa sebagai nadi pembangunan tamadun Malaysia MADANI,” katanya.

Program Hadiah Bahasa Public Bank-DBP 2025 ini dijangka menjadi platform penting dalam menyemarakkan apresiasi terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya dan tamadun selari dengan semangat Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat