Perkukuh Hubungan Dua Hala: PM Hadiri Dialog Shangri-La di Singapura

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-22, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura serta kerjasama serantau dalam isu keselamatan dan pertahanan.

Dalam rangka lawatan itu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong serta menghadap Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Dialog Shangri-La yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat itu merupakan forum keselamatan terkemuka di peringkat serantau dan global, menghimpunkan wakil dari 47 negara termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera serta lebih 20 pegawai kanan pertahanan dan tokoh akademik.

Malaysia turut diwakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah menyertai dialog berkenaan sejak Jumaat lalu.

Dialog tahunan anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) ini menjadi platform utama untuk membincangkan pelbagai cabaran keselamatan dan pertahanan di rantau Asia-Pasifik, termasuk isu ketenteraan, geopolitik serta kerjasama strategik antara negara.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Anwar menyatakan harapan agar lawatan itu membawa manfaat kepada negara serta terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Semoga lawatan ini membawa manfaat dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura,” katanya ringkas.

Penyertaan Anwar dalam SLD ke-22 menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh jaringan diplomasi dan kerjasama keselamatan serantau bagi mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat