KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang menyeru rakyat memperbaharui komitmen terhadap agenda keadilan sosial sempena sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia pada 20 Februari.
Menurut beliau, sambutan itu merupakan pengiktirafan global terhadap kepentingan mempromosikan keadilan sosial termasuk usaha membasmi kemiskinan, menangani ketidaksamaan gender, mengurangkan pengangguran serta memperkukuh hak asasi manusia dan perlindungan sosial.
“Tema tahun 2026, “Renewed Commitment to Social Development and Social Justice” mencerminkan tekad berterusan untuk memperkasa pembangunan sosial secara inklusif agar tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Negara makmur bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan KDNK, tetapi sejauh mana kekayaan dan peluang diagihkan secara adil kepada seluruh rakyat. Apabila akses kepada pendidikan, pekerjaan, perumahan, kesihatan dan perlindungan sosial dinikmati secara saksama, maka lahirlah kestabilan, keyakinan rakyat dan keharmonian sosial,” katanya di Facebook pada Jumaat.
Beliau menegaskan bahawa keadilan sosial mempunyai kaitan langsung dengan perpaduan nasional. Dalam Indeks Perpaduan Nasional, aspek tadbir urus dan pembangunan menjadi indikator penting yang menilai pengurusan ekonomi, kemudahan awam, penyampaian perkhidmatan serta pengurusan masyarakat.
“Apabila tadbir urus dilaksanakan secara telus dan inklusif serta pembangunan dirasai secara adil oleh semua lapisan masyarakat, maka perpaduan akan semakin kukuh,” ujarnya.

Aaron berkata, Kerajaan MADANI terus menggerakkan pendekatan Whole-of-Government Approach melalui pelbagai dasar dan inisiatif konkrit, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI95, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, Dasar Sosial Negara 2030 serta pindaan undang-undang berkaitan keselamatan sosial dan insurans pekerjaan.
Turut dilaksanakan ialah i-Lindung KWSP, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Dasar Wanita Kebangsaan 2025–2030, pembiayaan pendidikan tinggi percuma bagi isi rumah berpendapatan bawah RM2,700 dan RUU Antibuli 2025.
Selain itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai program pemerkasaan komuniti dan ekonomi termasuk Projek Tamu Desa, SPUMI Goes Big, Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Terbengkalai Sifar 2030, Program KasihnITA, bantuan guaman percuma untuk ibu tunggal miskin serta pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
Inisiatif lain merangkumi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR), SejaTi MADANI dan Sejahtera MADANI, selain pembangunan Pusat Autisme Negara yang dijadual diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada 2026.
Beliau menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama memperkukuh keadilan sosial demi membina kesejahteraan dan memperkasa perpaduan negara.
“Dengan usaha bersama, kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, inklusif dan harmoni untuk generasi kini dan akan datang,” katanya.
Baca juga:








