Perlis Haram Vape Demi Kesihatan Masyarakat

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan larangan sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025, selaras dengan usaha membendung amalan tidak sihat serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata, keputusan tegas itu dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai kesan negatif penggunaan vape serta merujuk fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang menetapkan pengharamannya sejak 2022.

“Segala bentuk budaya atau amalan yang tidak sihat adalah wajib dibanteras bagi melahirkan masyarakat yang aman, damai dan harmoni,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, larangan itu bukan sekadar peraturan baharu tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang membina modal insan yang sihat dan berdaya tahan di Perlis.

“Selari dengan tuntutan agama, kita mesti menghindari perbuatan yang merosakkan diri,” tambahnya.

Mohd Shukri menjelaskan bahawa keputusan pengharaman itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 14 Mei 2025.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan pembangunan insan yang holistik merangkumi aspek fizikal, rohani, dan jati diri, sejajar dengan usaha negeri untuk meningkatkan kesedaran dan amalan gaya hidup sihat.

“Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai program dan kempen mendidik masyarakat tentang bahaya penggunaan vape, dengan fokus meningkatkan amalan baik serta memperkukuh kesedaran awam,” katanya lagi.

Terdahulu, Johor menjadi negeri pertama yang melarang penjualan vape sejak 2016, diikuti oleh Terengganu yang turut mengharamkannya bermula 1 Ogos 2025.

Anda Mungkin Berminat