PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (PSSC), William Leong berkata, sebarang arahan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercuti atau meletak jawatan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa asas kukuh.
Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak boleh bergantung kepada dakwaan semata-mata tanpa disokong bukti yang jelas.
“Ia sangat bergantung kepada fakta dan bukti… mesti ada bukti tertentu sebelum seseorang diarahkan bercuti.
“Sekiranya tindakan dibuat tanpa fakta, ia boleh menjejaskan kredibiliti SPRM dan melemahkan integriti proses siasatan,” katanya dipetik MalaysiaKini.
William turut menegaskan bahawa semua pihak perlu menunggu hasil siasatan rasmi sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita perlu menghormati proses undang-undang dan memastikan keputusan dibuat secara sah serta berasaskan bukti kukuh,” katanya.
Pandangan itu muncul susulan desakan beberapa pihak agar Azam bercuti sementara siasatan dijalankan, selepas namanya dikaitkan dengan dakwaan berkaitan skandal perlombongan di Sabah dan video tular baru-baru ini.
Beliau turut menyeru semua pihak agar bertenang dan mengekalkan prinsip keadilan dalam menangani isu sensitif tersebut bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar serta bebas daripada tekanan politik.







