TAMBUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI), kini menjadi keperluan utama untuk memastikan Malaysia terus bersaing dalam pasaran global yang semakin mencabar.
Beliau menyeru kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk guru, pelajar institusi pengajian tinggi, dan murid sekolah untuk menghadapi perubahan teknologi dengan keberanian dan kesiapsiagaan.
“Perubahan ini menuntut keberanian dan kesiapsiagaan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi serta murid-murid di peringkat sekolah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Namun, Anwar turut mengingatkan agar masyarakat tidak mengabaikan asas penting dalam pembinaan insan seimbang seperti penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
“Matlamat penguasaan ilmu bukanlah semata-mata untuk kejayaan peribadi, malah ilmu yang dimiliki akan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya,” tambahnya.
Dalam lawatan ke kawasan Parlimen Tambun, beliau turut menyampaikan bantuan sebanyak RM500 kepada 2,000 pelajar menerusi Strategik Majlis Santunan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Berjaya Care Foundation.
Beliau berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang menerimanya.