PETALING JAYA: Serbuan pihak polis terhadap satu perjumpaan tertutup yang dipercayai melibatkan aktiviti songsang di sebuah banglo mewah di Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan telah mencetuskan reaksi tegas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam satu kenyataan, beliau meluahkan rasa sedih dan bimbang terhadap cabaran akidah dan akhlak yang dihadapi generasi masa kini.
“Sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, lebih-lebih lagi sebagai seorang ayah dan anggota masyarakat, saya merasai sendiri betapa besarnya cabaran akidah dan akhlak yang sedang dihadapi oleh generasi kita hari ini,” katanya.
Terdahulu, serbuan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan pada pertengahan Jun lalu berjaya menahan lebih 20 lelaki, manakala ratusan kondom dan ubat HIV turut dirampas.
Tindakan pantas itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Kelantan yang menyifatkannya sebagai usaha menjaga maruah agama dan ketenteraman awam.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak PDRM khususnya Kontinjen Polis Kelantan atas tindakan pantas dan berhemah dalam menangani isu ini,” ujarnya.
Beliau berkata, perlakuan songsang seperti liwat dan musahaqah adalah kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 khususnya Seksyen 28 yang memperuntukkan hukuman denda, sebatan dan penjara jika sabit kesalahan.
Namun, Mohd Na’im berkata, pendekatan kerajaan bukan semata-mata menghukum tetapi juga membimbing dan menyelamatkan mereka yang terjebak.
“Kita tidak hanya mahu menghukum, kita mahu menyelamatkan,” katanya.
Melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tambah beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membimbing golongan berisiko, termasuk Inisiatif Pemulihan dan Bimbingan oleh JAKIM.
“Antaranya Kem Bimbingan Spiritual (dahulunya Program Mukhayyam) iaitu program psikospiritual untuk komuniti hijrah LGBT yang ingin kembali ke jalan yang benar.
“Manual Hijrah Diri iaitu panduan untuk pendakwah dan masyarakat dalam mendekati isu LGBT secara hikmah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, terdapat juga kelas Usrah Iqra’ dan Bimbingan al-Quran dan Mahrajan Komuniti Hijrah dan Kem Ibadah Nusantara iaitu program kerohanian dan motivasi.
“Kita mahu membina masyarakat yang bukan hanya bebas daripada kerosakan moral tetapi juga kaya dengan kasih sayang, ilmu dan keinsafan,” katanya lagi.
Mohd Na’im memberi jaminan bahawa usaha ini akan terus diperkasa melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, agensi agama negeri, masjid dan institusi pendidikan.
“Doakan agar segala usaha ini diberkati Allah SWT dan semoga Malaysia terus terpelihara sebagai sebuah negara yang sejahtera dan diredai,” katanya.








