PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, bertitah bahawa gejala buli di sekolah telah menjadi satu budaya yang amat buruk di Malaysia, malah ia berlaku lebih kerap daripada yang disangka.
Baginda menegaskan, anak-anak, remaja serta belia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti hanya kerana perlu berdepan penderitaan akibat dibuli rakan sebaya.
“Ibu bapa juga tidak sepatutnya dibebani kebimbangan mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup tertekan dengan masalah kewangan dan keluarga.
“Tanggungjawab kita sebagai masyarakat adalah memastikan setiap nyawa yang terkorban akibat buli tidak berakhir dengan sia-sia,” titah Seri Paduka menerusi blog baginda.
Raja Zarith Sofiah menegaskan sekolah dan institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat pelajar merasa selamat, namun hakikatnya ia bertukar menjadi mimpi ngeri bagi mangsa buli.

“Kenapa ada antara mangsa memilih untuk memendam penderitaan? Saya difahamkan, antara sebab mereka enggan mendedahkan identiti pembuli adalah kerana mahu melindungi rakan-rakan lain.
“Jika mereka membuat laporan, rakan mereka pula mungkin dijadikan sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri,” titah baginda.
Seri Paduka turut menyoroti kes tragis melibatkan kadet tentera laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkifli, serta mendiang T Nhaveen dari Georgetown yang meninggal dunia akibat dibuli.
“Sudah bertahun-tahun kita mendengar berita insiden buli yang membawa padah. Ada mangsa bernasib baik kerana boleh berpindah sekolah, namun bagi yang tiada pilihan, mereka terpaksa menanggung penderitaan itu,” titah baginda.
Baca juga: