Tindakan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Naimah Abdul Khalis yang mencabar keabsahan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya telah mendapat bantahan awal oleh Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Melalui afidavit balasan yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide, pendakwa raya menegaskan tiada keperluan untuk Mahkamah Sesyen merujuk persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan itu kepada Mahkamah Tinggi kerana permohonan Na’imah tidak mempunyai merit.
Menurut pendakwa raya, ia adalah kerana persoalan dibangkitkan Na’imah bukanlah satu isu perlembagaan dan ia juga tidak melanggar mana-mana perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan dirinya sendiri dengan suatu kesalahan bukanlah suatu hak mutlak di bawah undang-undang dan ia bukan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan itu juga tidak melanggar perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (kedudukan sama rata di sisi undang-undang) kerana seksyen 36 ini tidak hanya terpakai kepada pemohon tetapi juga kepada orang lain yang dikemukakan dengan notis sama di bawah peruntukan ini, yang mana mereka akan dikenakan prosedur sama tanpa sebarang diskriminasi.
“Pemohon dilayan sama rata di sisi undang-undang dan tiada diskriminasi terhadapnya dalam konteks perkara 8 apabila beliau diperintahkan untuk mematuhi notis di bawah Seksyen 36. Tindakan pegawai SPRM adalah sama seperti mana-mana orang lain yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009,” kata pendakwa raya lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Hakim Azura Alwi menetapkan pada 21 Mac ini untuk mendengar permohonan Na’imah yang difailkan pada 29 Februari dan turut menetapkan pada 9 Mei bagi bagi sebutan untuk permohonan hampir serupa difailkan suaminya pada 15 Mac lalu.
Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 29 Mei untuk pendakwaan menyerahkan baki dokumen bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi pasangan terbabit.
Terdahulu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu akaun amanah saham, Disember tahun lalu.
Difahamkan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Baca juga:








