Permohonan Maaf MPM Tidak Memadai, Isu PAT 2026 Masih Berlarutan – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Permohonan maaf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelewatan pengeluaran Perakuan Amalan Tahunan (PAT) atau Annual Practising Certificate (APC) bagi tahun 2026 disifatkan masih tidak memadai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan MPM tidak boleh lagi menormalisasikan isu pentadbiran yang menjejaskan kelangsungan tugas barisan hadapan negara.

Beliau berkata demikian selepas mendengar keluhan pegawai perubatan mengenai kelewatan tersebut, sambil memberi jaminan bahawa kesinambungan perundangan melalui perlindungan ‘indemniti’ tetap terpelihara.

“Bagi permohonan lengkap yang dikemukakan sebelum atau pada 31 Disember 2025, tarikh kuat kuasa PAT/APC adalah bermula 1 Januari 2026.

“Status sah dan perlindungan indemniti profesional anda adalah kekal terpelihara tanpa mengira tarikh kelulusan fizikal,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menekankan bahawa tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) terhadap pengamal perubatan yang belum menerima PAT 2026, sekiranya permohonan dan bayaran telah dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025 dan masih dalam proses di sistem MeRITS.

“Permohonan dan bayaran mesti telah dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025 dan status masih dalam pemprosesan sistem MeRITS,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berhubung dengan MPM untuk mencari penyelesaian tuntas.

Katanya, audit dalaman akan dijalankan dan MPM perlu mengemukakan laporan terperinci mengenai punca masalah, langkah mitigasi serta garis masa konkrit bagi penyelesaian penuh.

Selain itu beliau berkata, KKM komited menaik taraf sistem legasi MeRITS kepada aliran kerja digital yang lebih teguh, automatik dan berasaskan peraturan.

Sebagai langkah jangka panjang, KKM sedang menilai kemungkinan memperkenalkan APC Berbilang Tahun (Multi-Year) bagi mengurangkan beban birokrasi pada masa hadapan.

“Kami komited membina ekosistem yang memudahkan urusan fraterniti perubatan, bukan membebankan mereka,” tegasnya.

Terdahulu, MPM tampil memohon maaf dan memaklumkan bahawa pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, dibenarkan untuk terus mengamal tanpa tindakan sehingga sijil PAT 2026 dikeluarkan.

Kenyataan itu disusuli dengan kertas edaran bertarikh 3 Januari, yang menjelaskan jumlah permohonan tinggi masih dalam proses pada masa ini.

Anda Mungkin Berminat