Permohonan UPU Dibuka Mulai 10 Februari

Permohonan UPU Dibuka Mulai 10 Februari

PETALING JAYA: Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 melalui platform UPUOnline akan dibuka mulai 10 Februari hingga 14 Mac 2025 untuk Fasa Pertama.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fasa Kedua akan dibuka dari 14 April hingga 18 Mei 2025.

“Bagi Fasa Pertama, semua program pengajian boleh dipohon. Namun, Fasa Kedua hanya akan membuka permohonan untuk program yang tidak melibatkan temu duga atau ujian.

“Pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dilakukan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 9 Februari 2025.

“Pemohon boleh membeli nombor pin ini di 350 cawangan BSN, 700 mesin ATM BSN, atau melalui perbankan internet myBSN. Slip pembayaran perlu disimpan sebagai bukti pembelian yang sah,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, permohonan adalah bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf yang ingin melanjutkan pengajian ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).

Sehubungan itu, KPT menjemput semua calon berkelayakan untuk memanfaatkan peluang ini kerana sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, manakala 1,131 program disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di institusi seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA di:

Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA
Jabatan Pendidikan Tinggi
Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62000 Putrajaya
Tel: 03-8684 2363
E-mel: [email protected]
Facebook: KEMASUKAN BPKP JPT
Instagram: @KEMASUKANBKPA

Anda Mungkin Berminat