Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan terus memperkasa agenda memudahcara perniagaan (ease of businesss) termasuklah mempercepatkan kelulusan pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak terlibat bermula Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan harus meningkatkan kepantasan meluluskan tanpa kompromi bagi menjadikan Malaysia tumpuan para pelabur di rantau ini.
“Mesyuarat Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-45 merupakan platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.
“Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Pada mesyuarat yang sama, turut dibentangkan Laporan Status Kemampanan Bandar di Malaysia Tahun 2023 yang mencatatkan bahawa Putrajaya berada di tangga terbaik dalam MURNInets.
Ia mencakupi enam dimensi penunjuk bandaraya mampan yang telah diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).