Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: China bersama negara jiran ASEAN tidak pernah bermusuhan, sebaliknya saling menyokong, berjuang seiring dan akhirnya bersama-sama mencapai kemerdekaan serta kebebasan.
Perdana Menteri China, Li Qiang turut menzahirkan gembira apabila melihat China dan seluruh negara anggota ASEAN dapat terus berkembang bersama dalam mencapai pelbagai kejayaan yang baharu.
Katanya, perpaduan antara ASEAN-China membawa kekuatan manakala kerjasama yang terjalin pula membentuk kemenangan bersama.
“Selama berdekad lamanya, kita terus membangun bersama, mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berjaya mengatasi pelbagai cabaran besar termasuk krisis kewangan, tsunami, pandemik COVID-19 dan lain-lain kesukaran.
“Hasilnya, kerjasama dalam pelbagai bidang semakin meluas dan skala perdagangan meningkat secara berterusan.
“Infrastruktur ASEAN juga telah menggalakkan pertukaran rakyat antara negara dan semakin mendapat sambutan,” ujarnya.
Kata beliau lagi, ASEAN-China baru sahaja selesai menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang menandakan pembukaan lembaran baru dalam sistem kerjasama ekonomi dan perdagangan serantau.
Majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang dinaik taraf (ACFTA 3.0) berjaya dilaksanakan dengan penuh tertib dan bersejarah pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Majlis yang menjadi tumpuan antarabangsa itu menyaksikan wakil Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, menaiki pentas bagi menyempurnakan sesi tanda tangan rasmi sebelum diteruskan dengan Mesyuarat FTA ASEAN-China di Dewan 2, KLCC.
Turut menyaksikan detik bersejarah ini ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama barisan pemimpin tertinggi ASEAN iaitu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Baca juga:








