Perpaduan Kunci Kekuatan Negara – Anwar

MEROTAI: Dalam pertemuan bersama rakyat di Merotai malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan sebenar negara terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum dan suku khususnya di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian budaya.

“Di Merotai malam ini saya menegaskan kekuatan rakyat terletak pada keteguhan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan suku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pelbagai dasar telah digerakkan bagi memastikan hak dan keperluan rakyat terus dipelihara dengan tumpuan khusus kepada Sabah yang sekian lama berdepan jurang pembangunan.

“Sepanjang tiga tahun kita mentadbir, kita buktikan dengan dasar yang jelas untuk mendukung hak dan keperluan rakyat, terutamanya rakyat Sabah,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal sebagai rujukan utama dalam usaha membawa perubahan bermakna kepada rakyat Sabah.

“Perjanjian Malaysia 1963 kekal menjadi rujukan kita dalam menjelmakan perubahan yang sebenar buat rakyat Sabah. Apakah selesai semuanya? Sudah tentu tidak,” ujarnya.

Namun, beliau berkata, komitmen kerajaan tidak pernah goyah dan kerjasama erat antara pemimpin di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjadi asas penting dalam memperbetulkan ketidakadilan yang telah berlarutan sekian lama.

“Namun, apa yang penting dengan kuasa yang ada kita perteguhkan matlamat ini dengan rakan-rakan kita di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak agar ketidakadilan yang sekian lama dipinggirkan ini mula menampakkan hasil yang nyata buat rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anda Mungkin Berminat