LABUAN: Perpaduan utuh dan pendekatan politik baharu menjadi kunci utama untuk UMNO kembali bangkit serta meraih kemenangan khususnya di Labuan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Labuan dalam lawatan kerjanya ke wilayah itu.
“UMNO Labuan mempunyai kekuatan tersendiri dengan perpaduan yang utuh serta kesetiaan ahli walau berdepan cabaran.
“Inilah asas penting untuk kita bangkit semula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Khaled, realiti politik masa kini menuntut UMNO keluar daripada cara lama dengan mendekati pengundi khususnya generasi muda serta memperluas sokongan kepada mereka yang belum bersama parti.
“Kita perlu keluar daripada cara lama, mendekati pengundi khususnya generasi muda serta memperluas sokongan kepada mereka yang belum bersama kita.
“Usaha ini perlu disokong dengan keterlihatan program di lapangan agar UMNO terus dekat dan relevan dengan masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memperkukuh parti mesti disertai dengan penyatuan semula termasuk membuka ruang kepada mereka yang pernah bersama UMNO untuk kembali memperkuatkan saf perjuangan.
Khaled optimis bahawa Labuan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional sekiranya gerak kerja tersusun dan kesiapsiagaan dimulakan dari sekarang.
“Dengan gerak kerja yang tersusun dan kesiapsiagaan dari sekarang, Insya-Allah UMNO Labuan mampu bangkit dan kembali memenangi hati rakyat,” katanya.








