Perpaduan Rakyat Malaysia Semakin Kukuh – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Indeks Perpaduan Nasional (INas) menunjukkan tahap perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh, dipacu oleh semangat kebangsaan serta keyakinan terhadap tadbir urus negara yang lebih mantap.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bagi tahun 2025, INas mencatatkan skor 0.701, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, INas merupakan satu-satunya indeks rasmi yang digunapakai kerajaan bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian rakyat secara menyeluruh.

Kajian itu dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“IPNas berperanan sebagai instrumen strategik dalam menilai kedudukan semasa perpaduan nasional serta menjadi panduan dalam penggubalan dasar dan intervensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sejak 2018, skor INas menunjukkan peningkatan konsisten daripada 0.567 kepada 0.629 pada 2022 dan akhirnya mencapai 0.701 pada 2025.

Perkembangan itu menurut beliau, menggambarkan pengukuhan berterusan tahap perpaduan nasional.

Kajian turut mendapati Sarawak mencatat tahap perpaduan tertinggi dengan skor 0.791, mencerminkan kekuatan nilai komuniti serta toleransi antara etnik.

Dari segi wilayah, Wilayah Selatan merekodkan skor 0.719 berikutan hubungan sosial rentas etnik yang aktif dan dinamik.

Sementara itu, Wilayah Tengah dan Wilayah Utara masing-masing mencatat skor 0.670 dan 0.650, yang berdepan cabaran struktur sosioekonomi dan urbanisasi namun berpotensi untuk terus diperkukuh.

Selain itu katanya, terdapat tiga negeri yang mencatat skor tertinggi dan boleh dijadikan teladan bagi keharmonian masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.

“Negeri Pahang merekodkan skor 0.817, menunjukkan perpaduan paling kukuh di negara ini, diikuti Melaka dengan skor 0.816 yang menandakan tahap perpaduan yang tinggi, manakala Sarawak pula mencatat skor 0.791, menggambarkan perpaduan yang kukuh dan konsisten di kalangan rakyatnya,” katanya.

Dalam kajian itu, faktor utama yang mempengaruhi perpaduan negara menurut INas 2025 ialah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) sebanyak 69.7 peratus, merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa serta sumber bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

TUP turut diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam komponen utama iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat.

Selain itu, Etos Nasional (EN) menyumbang 46.7 peratus, menggambarkan semangat cinta akan negara dan rasa kekitaan.

Tahap Keetnikan (TK) pula sebanyak 34.7 peratus, mencerminkan kekuatan identiti etnik dalam masyarakat majmuk, manakala Hubungan Sosial Rentas Etnik (HSRE) menyumbang 31.4 peratus, menekankan keakraban dan kepercayaan antara etnik.

Secara keseluruhan, dapatan INas 2025 mencerminkan bahawa perpaduan nasional berada pada landasan yang positif dan semakin mengukuh.

Aaron berkata, Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha memperkukuh integrasi nasional melalui pendekatan inklusif, berasaskan data serta intervensi berfokus bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.

Anda Mungkin Berminat