‘Perpaduan Unik Malaysia Harus Dipertahan, Jangan Jadikan Kaum Bahan Polemik’- Anwar

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan isu kaum sebagai bahan politik sempit, sebaliknya terus mempertahankan keunikan Malaysia yang hidup dalam harmoni dan saling menghormati.

Berucap di Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 di KL Sentral, Anwar berkata beliau terharu melihat rakyat pelbagai kaum hadir bersama meraikan Pesta Cahaya.

“Saya lihat ramai orang Melayu, orang Cina, orang India. inilah keunikan Malaysia. Orang luar lihat ini luar biasa, tapi bagi kita, ia sudah jadi kebiasaan. Itu yang kita mesti jaga,” katanya.

Menurut Anwar, perpaduan adalah nadi kekuatan negara. Beliau menegaskan bahawa segala peruntukan dan dasar kerajaan berpaksikan keperluan rakyat, bukan kaum.

“Kalau ada miskin tegar, kita bantu. Tak kira Melayu, Cina atau India. Itu asas kerajaan MADANI,” Ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan kerajaan terus memperkukuh sokongan kepada masyarakat India melalui pelbagai skim termasuk RM1.6 bilion bagi jaminan perumahan dan RM600 juta untuk pembiayaan perniagaan.

“Kalau nak kritik kerajaan, tak apa. Tapi jangan kata kita tak buat. Apa yang kita lakukan jauh lebih besar daripada yang pernah dibuat oleh mereka yang hanya pandai bercakap,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menyeru rakyat mengekalkan semangat Deepavali sebagai lambang cahaya menolak kegelapan, rasuah dan kebencian.

“Cahaya itu kebenaran, keadilan, dan kebaikan. Itulah semangat Malaysia yang sebenar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat