SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Baginda bertitah, keadaan itu perlu dihentikan kerana perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri hanya akan melemahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita sendiri yang akan rugi dan menjadi lemah.
“Semua pihak wajar mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan, sekali gus melemahkan kuasa dan kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 2026 pada Khamis.
Sehubungan itu, baginda berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, melibatkan semua lapisan masyarakat daripada pemimpin politik hingga rakyat jelata.
Namun, baginda menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan kaum lain.
Sebaliknya, titah baginda, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil dan dihuni rakyat yang saling hormat-menghormati.
Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya terus menghormati sensitiviti antara satu sama lain serta hidup dalam suasana aman dan damai.
Dalam pada itu, baginda bertitah bahawa sambutan Aidiladha membawa pengertian besar tentang pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh jutaan umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
“Pada kesempatan Aidiladha ini, Beta berharap semua kaum, bangsa dan penganut agama di negara ini terus saling menghormati sensitiviti masing-masing serta hidup dalam suasana aman damai.
“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Ottoman Empire apabila masyarakat pelbagai bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda.
Pada masa yang sama, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah serta dikurniakan haji yang mabrur.
Baca juga:








