Persahabatan Tak Diduga Di Hari Kedua Konsert GenKRU

Oleh: Aliyaa Azmi

KONSERT hari kedua genKRU bukan sekadar pentas nostalgia untuk peminat era 90-an, malah turut menyaksikan terjalinnya satu persahabatan baharu yang cukup unik — antara tiga gadis yang datang secara solo, namun dipertemukan di pintu masuk konsert.

Nurul Aisyah Ab Rahman dari Shah Alam, Nazreen Najwa Kamarulzaman dan Nur Nadhrah Ibrahim dari Kuala Lumpur tidak saling mengenali sebelum ini. Namun segalanya bermula apabila salah seorang daripada mereka meminta tolong mengambil gambar — dan dari situ, tercetusnya perbualan mesra yang membawa kepada keakraban seperti sudah lama bersahabat.

“Saya minta tolong ambil gambar je sebenarnya… tapi lepas tu terus sembang macam dah kenal lama. Boleh borak pasal genKRU, outfit, album yang kami suka. Rasa selesa sangat!” Kata Nazreen Najwa.

Sejak saat itu, ketiga-tiganya menunggu bersama, bertukar cerita dan berkongsi minat terhadap kumpulan yang pernah mewarnai zaman remaja mereka.

Masing-masing bersetuju bahawa album “The Way We Jam” adalah kegemaran kerana ia penuh dengan lagu yang membangkitkan kenangan.

“Saya tak pernah datang konsert. Ini konsert pertama saya lepas bertahun-tahun. Tapi tak sangka, bukan je dapat tengok GenKRU, tapi dapat kawan baru sekali. Memang rezeki,” kata Nurul Aisyah

Menurut Nur Nadraah, dia teruja kerana dapat berkongsi cita rasa dalam dunia fesyen serta saling memuji gaya pemakaian masing-masing, yang kebetulan semua bertemakan era 90-an walaupun tak dirancang.

“Mula-mula nervous juga datang sorang-sorang, tapi bila jumpa dorang ni terus hilang rasa tu. Rasa macam ada geng sendiri! Konsert ni dah jadi kenangan paling manis buat saya,” Katanya.

Persahabatan yang terjalin secara spontan itu menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan sesiapa sahaja — tak kira latar belakang, asal usul mahupun status.

Konsert genKRU berlangsung selama tiga hari iaitu pada 3, 4 dan 10 Mei, dengan malam semalam menyaksikan kejutan istimewa apabila kumpulan Elite dan penyanyi Adam membuat kemunculan semula di pentas sebagai artis undangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat