Persatuan Bola Sepak Perlis Dipecat Sebagai Ahli Gabungan FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sah dipecat sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas gagal melunaskan bayaran kepada bekas Pengarah Bola Sepaknya, Matthew Mark Holland.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemecatan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025–2029 yang berlangsung pada Khamis, sekali gus mengesahkan usul Kongres FAM ke-61 yang sebelum ini menggantung keahlian PFA di bawah Artikel 17 Statut FAM.

Menurutnya, PFA telah diberi tempoh enam bulan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun gagal mematuhi keputusan FIFA bertarikh 11 November 2024.

“FAM tidak mempunyai pilihan lain selepas PFA gagal mematuhi keputusan FIFA bertarikh 11 November 2024.

“Ia satu langkah tegas demi menjaga integriti badan bola sepak negara,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, FAM turut mengumumkan pelantikan beberapa tokoh penting bagi memperkukuh struktur pentadbiran badan induk bola sepak negara.

Mohd Yusoff kini mengetuai tiga portfolio utama iaitu Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan serta Jawatankuasa Darurat.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi Amateur Football League (AFL), selain kekal menerajui Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta Jawatankuasa Infrastruktur.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail kini mengetuai Jawatankuasa Pertandingan, manakala Datuk Saaran Nadarajah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.

Sementara itu, dua legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan diberi tanggungjawab memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

FAM dalam kenyataannya turut menzahirkan kesediaan untuk mengambil alih pengurusan NFDP dan AMD sekiranya mandat diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Anda Mungkin Berminat