MACHANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh peranan institusi pondok di negara ini.
Beliau berkata, kuasa yang diamanahkan wajar dimanfaatkan melalui muafakat demi kepentingan pendidikan dan pembangunan modal insan, mengatasi perbezaan politik demi kepentingan orang ramai.
“Pondok pernah menjadi kubu pertahanan ilmu dan akidah sewaktu zaman penjajahan. Kini, ia wajar diberi nafas baharu untuk melawan pengaruh yang merosakkan serta mempersiapkan generasi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Machang, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan.
Menurut beliau, penganjuran ijtimak itu adalah sebahagian daripada usaha islah secara berperingkat, selaras dengan seruan “Islah Mastata’tu” yang menuntut hikmah dan kebijaksanaan.
“Perancangan kita harus untuk membina, bukan bersengketa. Institusi pondok yang sekian lama terpinggir perlu diberi ruang kembali berkembang,” katanya.
Anwar turut mengajak semua pihak untuk bersama memperkukuh peranan institusi agama, selari dengan tuntutan Islam yang mengutamakan ilmu dan pembinaan akhlak.
Terdahulu, institusi pondok di negara ini berperanan penting sebagai pusat penyebaran ilmu dan benteng akidah, namun peranannya semakin terhakis ekoran kekangan sumber dan perkembangan semasa.
Baca juga: