Persiapan keselamatan tahap terbaik sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

PETALING JAYA: Malaysia kini bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal menghimpunkan 23 ketua kerajaan dari seluruh rantau minggu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata persiapan keselamatan berada pada tahap terbaik hasil kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah pimpinan Ketua Polis Negara.

“Sebanyak 10,400 anggota polis ditugaskan khas untuk memastikan keselamatan sepanjang sidang berlangsung. Latihan dan ‘dry run’ telah dilaksanakan sejak 16 Oktober bagi memastikan kelancaran setiap laluan protokol, termasuk ketibaan tetamu melalui KLIA dan Subang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saifuddin menjelaskan, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat, bukan ‘lockdown’ dan meminta kerjasama orang ramai, terutama di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) serta hotel penginapan rasmi para delegasi.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan ketua kerajaan dan delegasi antarabangsa menjadi keutamaan utama, dengan semua lokasi dikenal pasti serta dikawal rapi mengikut piawaian keselamatan antarabangsa.

“Perbezaan pandangan dan aktiviti masyarakat sivil tetap diiktiraf sebagai hak dalam sistem demokrasi, namun kerjasama dengan pasukan keselamatan penting agar imej Malaysia kekal terpelihara di mata dunia,” katanya lagi.

Saifuddin turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Selangor dalam menyelaras operasi besar tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur minggu ini menjadi medan penting memperkukuh kerjasama serantau, sekali gus menonjolkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah yang selamat, stabil dan tersusun di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat