Persidangan Perkhidmatan Pendidikan untuk tambah baik perkhidmatan sektor pendidikan

Persidangan Perkhidmatan Pendidikan pada tahun ini diadakan untuk menyediakan wadah bagi perkongsian pemikiran ke arah memacu perkhidmatan terbaik dalam sektor pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menghadiri persidangan tersebut yang diadakan di Putrajaya untuk memastikan peningkatan kecemerlangan perkhidmatan awam.

“Persidangan tersebut juga dilaksanakan untuk menyediakan medan perbincangan untuk pihak yang berkepentingan dalan mengenal pasti isu-isu terkini dalam perkhidmatan pendidikan dan langkah-langkah penyelesaian.

“Selain itu, ia turut dapat membantu penjanaan idea dan syor bagi merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan transformasi keguruan selaras dengan wawasan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.

Persidangan tersebut merupakan anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang merupakan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) bagi anggota Perkhidmatan Pendidikan.

SPP bertanggungjawab dalam urusan pelantikan, pengesahan dalam perkhidmatan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan atau pertukaran tetap perkhidmatan dan kawalan tatatertib.

Fadhlina turut menyatakan SPP menjalankan kuasanya melalui mesyuarat-mesyuarat seperti Mesyuarat Suruhanjaya tentang urusan pelantikan, perkhidmatan, kenaikan pangkat dan tatatertib, Mesyuarat Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat dan Mesyuarat Lembaga Rayuan Tatatertib.

Turut hadir dalam persidangan sama, Pengerusi SPP, Tan Sri Dr Mazlan Yusoff termasuk anggota-anggota SPP serta Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat