Pertahan maruah dan keselamatan rakyat Malaysia di Israel – Altimet

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Maruah dan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim haram Israel ketika ini seharusnya dipertahankan serta merta.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahmad Al Hadad, Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang diwakili oleh seluruh dunia serta rakyat Malaysia hanyalah sebuah pelayaran yang membawa harapan, kasih sayang dan solidariti buat rakyat Palestin yang hidup dalam kepungan.

Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim haram Israel yang telah menghalang dan memintas kebanyakan kapal armada GSF pada awal pagi Khamis.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram rejim Israel yang telah menghalang dan memintas Global Sumud Flotilla.

“Misi ini adalah misi kemanusiaan yang disertai sukarelawan awam tanpa senjata serta membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza, namun Israel bertindak balas dengan ugutan dan kekerasan,” katanya di laman Facebook pada Khamis.

Altimet berkata, beliau sebagai rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri ketika mana warganegara dan aktivis Malaysia diancam dek kerana mereka berdiri bersama rakyat Palestin yang tertindas.

“Keselamatan dan maruah mereka mesti dipertahankan, dan pihak yang mengancam mereka mereka mesti dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, solidariti Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar slogan tetapi suatu prinsip yang mana selagi rakyat Palestin dinafikan kebebasan dan keadilan maka Malaysia akan terus bersama mereka.

“Bersama Palestin dengan suara, tindakan dan semangat perjuangan,” katanya.

Baca. juga:

Anda Mungkin Berminat