Pertandingan Rafizi, Izzah Bukan Referendum Terhadap Anwar

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar tidak seharusnya dianggap sebagai referendum terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, persaingan itu sekadar pertembungan antara dua calon dan tidak mencerminkan sokongan atau penolakan terhadap kepimpinan Anwar.

“Saya tidak melihat kemenangan Nurul Izzah sebagai sokongan mutlak kepada Anwar dan kekalahannya pula sebagai penolakan terhadap beliau.

“Ini hanyalah pertarungan antara Rafizi dan Izzah dengan anggota parti sedang membuat penilaian sebelum mengundi,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Saifuddin berkata, PKR adalah sebuah parti yang meraikan keterbukaan dan perbezaan pendapat sehingga membolehkan pemimpin bersaing secara sihat.

“Rafizi sendiri dalam ucapannya mengajak ahli menyokong Izzah walaupun beliau bertanding. Dalam parti lain, ini jarang berlaku,” jelasnya.

Beliau turut menyangkal tanggapan bahawa keputusan pemilihan akan memberi kesan langsung terhadap imej Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR dan beliau mengingatkan bahawa Anwar telah menghadapi pelbagai cabaran sejak era Reformasi.

“Anwar ditahan, dihina dan diaib selama bertahun-tahun. PKR itu sendiri wujud kerana perjuangan mempertahankan beliau.

“Jadi tidak timbul soal pertandingan ini mencerminkan penolakan terhadap kepimpinannya,” ujar beliau.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa pencalonan Nurul Izzah mencetuskan isu dalaman, malah menyifatkan kekalahannya akan menjejaskan persepsi terhadap PKR.

Namun, Saifuddin mengambil pendekatan berbeza dengan menyeru semua calon dan penyokong mengutamakan kestabilan parti.

“Saya memilih untuk tidak bertanding kerana mahu melihat kestabilan parti terus terpelihara.

“Sebagai orang lama dalam PKR, saya mainkan peranan untuk merapatkan jurang, bukan mencipta pertembungan,” katanya.

Tambah beliau, meskipun tidak bertanding, beliau masih aktif menyumbang dalam struktur PKR dan PH termasuk meneruskan peranannya sebagai Setiausaha Agung gabungan itu.

Anda Mungkin Berminat