Pencipta kandungan YouTube dan peninju, Jake Paul bakal berhadapan dengan lagenda tinju, Mike Tyson dalam pertandingan tinju pada 20 Julai depan di Stadium AT&T, Arlington, Texas.
Paul, 27, telah memenangi sembilan daripada 10 pertarungan dengan mencatat satu kekalahan dalam perlawanan bersama Tommy Fury pada Februari 2023.
“Matlamat saya adalah untuk menjadi juara dunia, jadi perlawanan bersama lagenda tinju dunia ini merupakan peluang untuk saya membuktikan matlamat tersebut.
“Ini merupakan perjuangan seumur hidup saya meskipun Mike ialah petinju paling berbahaya sepanjang zaman,” katanya, lapor media antarabangsa, CNN.
Tyson juga mengeluarkan kenyataannya mengenai perlawanan ini, mengatakan beliau mengiktiraf perkembangan Paul sebagai seorang petinju yang mahu menentangnya.
“Dia telah berkembang sebagai seorang petinju selama bertahun-tahun, ia akan menjadi sangat menyeronokkan untuk melihat perbezaan kebolehan seorang ‘budak’ berbanding seorang ‘lagenda’,” katanya mengenai Paul dalam satu kenyataan.
Tyson atau digelar ‘Iron Mike’, 57, bertanding secara profesional kali terakhir pada Jun 2005 memenangi kemenangan sebanyak 50 kali, dengan rekod 44 kali mengalahkan pihak lawan secara KO.
Acara ini akan disiarkan secara eksklusif di Netflix dan dijangka akan menghasilkan sejumlah wang yang besar bagi kedua-dua pihak di samping peminat Tyson bakal dapat melihat idola mereka kembali ke atas gelanggang semula.
Baca juga: