PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Singapura pada Khamis dan disambut dengan penuh mesra oleh rakan sejawatnya, Perdana Menteri Lawrence Wong, dalam sebuah jamuan tengah hari serta pertemuan empat mata yang berlangsung dalam suasana penuh keakraban.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menzahirkan penghargaan atas layanan mesra yang diberikan oleh Kerajaan Singapura, sambil menekankan bahawa hubungan erat antara kedua-dua negara bukan sekadar mencerminkan persahabatan peribadi tetapi juga kekuatan diplomasi yang telah lama terjalin.
“Usai ketibaan di Singapura, saya disambut oleh sahabat saya, Perdana Menteri Lawrence Wong, dengan jamuan tengah hari serta sesi pertemuan empat mata yang berlangsung dalam suasana penuh keakraban dan persahabatan.
“Saya merakamkan penghargaan atas layanan mesra yang ditunjukkan beliau serta Kerajaan Singapura lantas bukan mencerminkan nilai persahabatan peribadi antara kami, malah melambangkan kekuatan hubungan erat antara Malaysia dan Singapura yang telah terjalin sekian lama,” kata Anwar.
Pertemuan dua pemimpin itu turut menyentuh beberapa isu penting yang masih dalam tindakan bersama.
“Dalam pertemuan tersebut, kami mengadakan perbincangan yang amat positif mengenai beberapa perkara yang masih dalam tindakan bersama termasuk isu kawalan ruang udara, bekalan air serta penyelarasan maritim antara kedua-dua negara,” katanya.








