Pertemuan Trump, Anwar Antara Tumpuan ASEAN 2025

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur Ahad ini dijangka menjadi pentas utama diplomasi global, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim antara tokoh utama yang mencuri tumpuan dunia.

Menurut jadual rasmi yang disiarkan di laman America’s Roll Call, Trump dijangka berlepas dari Washington pada Sabtu malam (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 10 pagi Ahad, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar serta menandatangani beberapa perjanjian strategik antara Malaysia dan AS.

Lawatan ini menandakan kunjungan pertama Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai Presiden, serta lawatan kedua Presiden AS ke Malaysia dalam lebih sedekad, selepas kunjungan Barack Obama pada 2014.

Selain mesyuarat bersama Anwar, Trump turut dijadual bertemu Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, diikuti majlis makan malam rasmi bersama pemimpin ASEAN dan delegasi AS.

Sidang kemuncak kali ini yang berlangsung di bawah kepengerusian Malaysia, dijangka menggariskan beberapa agenda besar termasuk pengukuhan mandat diplomasi ASEAN, kerjasama ekonomi digital serantau, serta komitmen berterusan terhadap keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik.

Lebih 20 pemimpin dunia turut hadir, termasuk Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, menjadikan Kuala Lumpur tumpuan utama diplomasi antarabangsa hujung minggu ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat