KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mempertimbangkan pemberian subsidi petrol sehingga 300 liter secara bersasar kepada petugas kesihatan yang menjalankan tugas lapangan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan mobiliti tinggi dalam kalangan petugas kesihatan yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tugasan harian.
Menurutnya, sebahagian petugas kesihatan awam terlibat secara langsung dalam lawatan pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti di lapangan.
“Keperluan mobiliti ini berkait secara langsung dengan keberkesanan sistem kesihatan awam di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan yang mencadangkan pengekalan kuota subsidi petrol 300 liter sebulan bagi petugas kesihatan terlibat.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menyokong langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter sebagai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara susulan tekanan krisis tenaga global.
“Secara keseluruhannya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan ini memandangkan data menunjukkan 90 peratus rakyat menggunakan BUDI95 kurang 200 liter sebulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan bersasar dilaksanakan bagi memastikan petugas kesihatan dengan keperluan mobiliti tinggi terus mendapat sokongan tanpa menjejaskan matlamat rasionalisasi subsidi negara.
“Ia sekali gus mengekalkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan kelayakan BUDI95 terpaksa dinilai semula dan kuota subsidi bulanan ditetapkan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.
Anwar turut berkata, langkah itu dibuat secara teliti dan berhemah serta bersifat sementara sehingga keadaan bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih.








