Pertingkat Kajian Tentang Ketamadunan Melayu – Raja Permaisuri Agong

PETALING JAYA: KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah menggalakkan lebih banyak kajian dijalankan berkenaan sejarah ketamadunan Melayu serta perhubungannya dengan tamadun lain di peringkat antarabangsa.

Seri Paduka Baginda bertitah, kajian akademik yang lebih mendalam terhadap sejarah tamadun Melayu dan penerapannya di Malaysia akan mengukuhkan lagi jati diri bangsa.

“Dalam kita sentiasa merancang pertumbuhan dan kemajuan untuk masa hadapan, kita mesti juga melihat kepada sejarah tamadun bagi mempelajari teladan zaman dahulu.

“Terdapat pelbagai sumber penyelidikan di seluruh dunia termasuk di British Library ini.

“Ini akan mengukuhkan jati diri dengan penerapan kesedaran yang lebih mendalam tentang identiti Bangsa Melayu,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berangkat membuat lawatan ke British Library di London, United Kingdom pada Selasa.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama rombongan telah disambut oleh Pengelola British Library, Richard Davies; Ketua Kurator Bahagian Asia Tenggara, Datuk Dr Annabel Teh Gallop serta Ketua Koleksi Asia dan Afrika, Luisa Elena Mengoni.

Dalam lawatan tersebut, Raja Zarith Sofiah telah dipersembahkan penerangan mengenai surat-surat Kesultanan Melayu, hikayat serta puisi lama termasuk surat-surat purba Kesultanan Johor oleh Datuk Dr Annabel, seorang pakar sejarah persuratan Nusantara.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad serta Pengarah Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Anda Mungkin Berminat